rtconline

Laman Rasmi Tan Sri Rahim Tamby Chik

Berita Harian

Interview dengan Berita Harian

SUKA ASAM PEDAS MASAKAN ISTERI
Biarpun sibuk dengan tugas parti dan perniagaan, bukan sukar untuk mengatur pertemuan dengan beliau. Menepati waktu temujanji, beliau sampai sebelum jam 9 malam di Ayer Keroh D’Village Resort, lokasi wawancara diadakan.

r3.jpg

Wajahnya tidak banyak berubah, masih segak seperti dulu, malah kurus sedikit berbanding ketika menjadi Ketua Menteri Melaka antara 1982 hingga 1994.

Tan Sri Abdul Rahim Tamby Chik dan isterinya, Puan Sri Zabedah Abdullah, yang begitu ramah, terus mengajak penulis dan juru gambar makan dulu sebelum wawancara dimulakan.

Saya memang jaga makan. Dulu waktu jadi Ketua Menteri saya tak jaga sangat makan. Sekarang saya betul-betul jaga. Bersenam dan bersukan saya jadikan rutin harian. Saya berjoging, berenang, main golf, badminton dan bowling.

Alhamdulillah pada usia 55 tahun, saya masih lagi sihat, katanya ketika bersembang di meja makan sebelum wawancara diadakan di sofa yang disediakan khas di sebuah bilik di hotel berkenaan.

Malah isterinya, Zabedah juga jelas berkongsi amalan sama, menjaga makan demi kesihatan. Tidak harianlah bentuk badannya masih kelihatan menarik biarpun sudah mencecah usia 53 tahun.

Abdul Rahim cuma menjamah sedikit minum, ayam goreng serta sepotong limau yang dihidang, sedangkan nasi goreng langsung tidak disentuh.

Dulu Tan Sri tak kacak macam sekarang. Dulu orang tengok pun lari,” seloroh Zabedah yang duduk di sebelahnya apabila penulis bertanyakan jika ada koleksi gambar lama untuk disiarkan.

Namun dalam menjaga pemakanan, satu-satunya makanan yang Abdul Rahim tak boleh tolak ialah masakan asam pedas isterinya.

Saya suka asam pedas terutama apabila isteri saya masak. Saya tak memilih sangat makan, tapi alah kepada makanan laut. Jadi saya tak ambil makanan laut, katanya

Sebaik selesai makan malam, kami pindah ke sofa bersebelahan dan Abdul Rahim terus membuka bicara dengan menceritakan kisah zaman kanak-kanaknya yang pernah mengabaikan pelajaran kerana minat memikat burung, sebelum beliau berubah menjadi seorang yang rajin belajar selepas dipukul terus oleh ibunya.

DI ROTAN SEBAB SUKA PIKAT BURUNG
Sejak berusia enam tahun sehinggalah ke Darjah Enam, rutin hariannya bersama teman sekampung memikat burung menggunakan getah pokok jelutong yang diletakkan dekat sangkar.

Malah Tan Sri Rahim Tamby Chik sanggup ponteng kelas semata-mata kerana kegilaan memikat burung hingga menyebabkan kedudukannya dalam peperiksaan pada zaman kanak-kanak, sering di tempat tercorot.

Perbuatannya ponteng kelas akhirnya terbongkar apabila pada satu hari ibunya secara senyap-senyap mengekorinya.

Ketika itu saya dalam Darjah Enam. Saya ponteng kelas dan pergi ke sawah nak pikat burung. Ibu kejar saya dengan rotan. Apa lagi, betul-betul teruk saya dikerjakan oleh arwah ibu,” kata bekas Ketua Menteri Melaka itu ketika menceritakan zaman kanak-kanaknya

Pengalaman dibelasah teruk oleh ibunya di tengah sawah dan di hadapan kawan sekampung ketika berusia 12 tahun, bukan saja meninggalkan kesan lebam di badan, malah menimbul keinsafan mendalam di sanubarinya.

Ibunya, Datin Habsah Hassan (Allahyarham), naik berang apabila mendapat tahu beliau ponteng kelas semata-mata kerana mahu memikat burung di sawah.

Saya amat terhutang budi pada ibu saya. Ibu saya telah merubah segala-galanya. Tindakan keras yang diambilnya benar-benar meninggalkan kesan mendalam dalam diri saya.

Sejak hari itu saya serik, tidak berani lagi ponteng kelas walaupun saya masih meneruskan kegiatan menangkap burung.

Cuma saya pastikan minat itu tidak mengganggu pelajaran. Sejak itu juga saya berjanji akan belajar bersungguh-sungguh. Hasilnya saya mendapat tempat pertama dalam kelas.

Lebih menggembirakan, ayah saya ketika itu Exco kerajaan negeri dan wakil rakyat, datang ke sekolah saya, Sekolah Kebangsaan Pengkalan Balak, Masjid Tanah, untuk menyampaikan hadiah kepada murid cemerlang,: katanya.

YOU GO AND CHANGE MELAKA - Pesanan Tun Dr Mahathir…
Abdul Rahim juga tidak pernah melupakan pesanan Dr Mahathir: You go and change Melaka, apabila melantiknya menjadi Ketua Menteri pada 1982.

Biarpun baru berusia 32 tahun dan rata-rata Exconya sudah berusia ketika itu, beliau berjaya merubah wajah Melaka menjadi sebuah negeri yang pesat membangun dan membuka kawasan perindustrian baru termasuk Ayer Keroh, Bukit Rambai dan Batu Berendam.

PERNAH HERDIK DR MAHATHIR
“Kecut perut dan menggigil seluruh badan apabila mendapat tahu orang yang saya herdik di telefon sebenarnya Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad (kini Tun) yang ketika itu Timbalan Perdana Menteri”

Pengalaman pada 1978 itu tidak dapat beliau lupakan sehingga hari ini, selain sejarah hitam beliau terpaksa melepaskan jawatan Ketua Menteri Melaka pada 1994, berikutan isu skandal rasuah dan dakwaan terbabit dengan gadis bawah umur.

Ketika itu saya berusia 28 tahun. Saya menerima panggilan telefon pada satu malam dan seorang lelaki bertanya beberapa kali: Itu Abdul Rahim Tamby Chik ke?, betul ke Abdul Rahim Tamby Chik.Banyak kali dia ulang pertanyaan sama sehingga saya marah.

Selepas saya meninggikan suara, baru dia memperkenalkan dirinya sebagai Dr Mahathir. Sebaik mendengar nama itu saya tiba-tiba kecut perut, nak terkencing, gugup dan gemuruh.

Bayangkanlah orang yang saya herdik ialah Timbalan Perdana Menteri ketika itu. Selepas itu beliau memaklumkan kepada saya bahawa Perdana Menteri (Tun Hussein Onn) bersetuju melantik saya menjadi Setiausaha Parlimen. Seminggu selepas itu, nama saya diumumkan sebagai Setiausaha Parlimen Kementerian Perusahaan Utama.Katanya menceritakan detik paling tidak dapat dilupakan dalam kerjaya politiknya.

Kali kedua mukanya merah padam apabila ditegur Dr Mahathir ketika mesyuarat kerana tidak memasang butang baju paling atas sewaktu menjadi Setiausaha Parlimen Kementerian Perdagangan dan Perindustrian pada 1980.

Spontan Dr Mahathir kata, kalau nak dihormati oleh pegawai kerajaan, kena ada disiplin, kena pakaian kemas. Sejak itu saya berubah dan hari-hari pakai tie (tali leher) pergi kerja,katanya.

BELAJAR SILAT KERANA JADI PENGAWAS SEKOLAH

Tangkap pelajar main terup - Rahim diugut
Ketika menjadi pengawas di Sekolah Dato Sri Amar Diraja Muar, saya menangkap seorang pelajar yang main daun terup dalam kelas ketika waktu rehat.

Saya arahkan pelajar itu mengikat kasut di leher dan berlari keliling padang. Selepas tamat kelas pada hari itu, sekumpulan enam pelajar menunggu saya di luar sekolah untuk menuntut bela terhadap rakan mereka yang dihukum.

Mujur ada dua rakan saya yang juga ahli silat jadi penyelamat dan memberi amaran kepada kumpulan pelajar terbabit supaya jangan ganggu saya. Mereka takut kerana tahu dua rakan saya itu memang pakar silat dan mereka terus lari, kata Abdul Rahim yang juga menuntut ilmu persilatan kalimah di Muar ketika itu.

Abdul Rahim dilantik menjadi ketua pengawas ketika di Tingkatan Lima di Sekolah Menengah Ghafar Baba, Masjid Tanah, dan apabila melanjutan pelajaran ke Tingkatan Enam di Sekolah Dato Sri Amar Diraja Muar, beliau sekali lagi dilantik menjadi ketua pengawas.

Kualiti kepimpinan beliau diwarisi daripada bapanya, Datuk Rahim Thamby Chik Karim iaitu bekas guru besar sebelum menceburi politik, menjadi wakil rakyat dan Exco Melaka, serta ibunya, Datin Habsah Hassan, seorang guru sekolah.

Biarpun agak nakal dan pernah ponteng kelas ketika di sekolah rendah tetapi tindakan tegas ibunya yang memang terkenal dengan sikap garang menyebabkan beliau jauh berubah ketika memasuki sekolah menengah, sehingga menjadi ulat buku dan sentiasa mencabar diri untuk mencatat keputusan cemerlang.

Ayah saya ialah pemimpin Melayu pertama mendapat gelaran Datuk di Melaka apabila dikurniakan pingat Datuk Kurnia Setia Jasa (DKSJ) dan menjadi wakil rakyat sejak merdeka pada 1957 dan beliau sering membawa saya bersama ketika mengadakan ceramah politik.

Saya suka ikut ayah selepas waktu sekolah. Saya ikut ayah mengadakan ceramah di dewan, padang, masjid, surau dan majlis rasmi. Dari situ minat saya dalam politik mula berputik,katanya

Pengalaman di asrama sejak Tingkatan Satu, biarpun Sekolah Menengah Gafar Baba cuma tiga batu jaraknya dari rumah, banyak mendidiknya supaya hidup berdisiplin dan berdikari.

Saya sendiri nak duduk di asrama kerana waktu itu saya cenderung untuk memperbaiki prestasi dalam pelajaran. Masa itulah saya tunjukkan kualiti kepimpinan.

Saya mewakili Melaka dalam pertandingan debat peringkat kebangsaan di Universiti Malaya (UM) ketika di Tingkatan empat.

Saya juga wakil sekolah dalam pertandingan lari pecut, lari berpagar dan lompat jauh. Banyak pingat saya menangi ketika itu,katanya.

TERDIDIK SEBAGAI PEMIMPIN SEJAK DI UM
Pernah menyertai demontrasi pelajar di UM
Peristiwa tidak dapat dilupakan beliau ketika menjadi penuntut di institusi pengajian tinggi ialah ketika menyertai demontrasi lawatan bekas Perdana Menteri Thailand, Thanom Kittikachorn pada 14 Jun 1971, sebagai membantah penindasan terhadap umat Islam di Selatan Thailand.

Waktu itu tak banyak jalan di Kuala Lumpur dan rombongan yang membawa bekas Perdana Menteri Thailand itu perlu melalui Masjid Ar Rahman UM. Pasukan keselamatan cuba meleraikan demontrasi dan tercetus kekecohan apabila ramai yang ditangkap serta dipukul dengan baton kerana enggan bersurai sehingga berdarah di badan dan kepala.

Mujur saya sempat lari dan sebuah bas yang kebetulan lalu menjadi penyelamat apabila saya sempat melompat ke dalam bas berkenaan ketika dikejar dua anggota polis.

Waktu itu semua yang ditangkap ditarik balik biasiswa, tetapi oleh kerana saya sempat melarikan diri dan tidak ditangkap, jadi saya terselamat, katanya.

Ketika di UM, beliau pernah menyumbang hasil penulisannya ke Dewan Masyarakat dan enam keratan rencana mengenai ekonomi ditulisnya yang tersiar di majalah berkenaan masih disimpan sehingga hari ini.

PERNAH KIRA KEDAI DI CHOW KIT
Sukar lupa peristiwa ketika bertugas dengan Uda pada 1973
Sebaik menamatkan pengajian di UM beliau menyertai Jabatan Perdana Menteri sebagai pegawai penyelidik tetapi hanya untuk seketika apabila memutuskan untuk menyertai Perbadanan Pembangunan Bandar (Uda) pada 1973.

Peristiwa paling tidak dapat saya lupakan ketika itu ialah apabila saya dibantu isteri pergi ke Jalan Chow Kit dan Jalan Tuanku Abdul Rahman untuk mengira jumlah kedai dan mengambil nama pemilik kedai.

Waktu itu Allahyarham Tun Abdul Razak mahu menyusun semula masyarakat Melayu dan mahu membabitkan sekurang-kurangnya 30 peratus Bumiputera dalam perniagaan.

Lebih sebulan saya dan isteri berulang alik ke Jalan Chow Kit dan Jalan Tuanku Abdul Rahman. Uda diberikan tugas besar ketika itu dan sebagai pegawai bertanggungjawab saya melakukan sendiri semua tugas yang diamanahkan,” katanya.

Pada 1975, Abdul Rahim menjadi Pengurus Projek Perbadanan Kemajuan Negeri Melaka, sebelum menjadi Ahli Parlimen pada 1978, Setiausaha Parlimen pada 1978 hingga 1981 dan Ketua Menteri Melaka sejak 1982 hingga 1994.

Abdul Rahim yang mendirikan rumah tangga dengan Zabedah pada 31 Ogos 1974 dikurniakan empat cahaya mata, tiga perempuan, Zetty Juyanty, Tutty Rahiza, Petty Diyana dan seorang lelaki, Rahimy, yang semuanya sedang menuntut di luar negara.